Jumaat, 12 Disember 2008

Ali Rustam

ALI BARU CELIK POLITIK

Assalamualaikum ... Mujurlah akhirnya Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam akhirnya berpijak juga di bumi nyata. Mulai hari ini beliau memberi tahu kerajaan negeri Melaka menarik balik larangan kakitangannya daripada mengunjungi Kelantan. Arahan itu dikeluarkan sejak lapan tahun lalu.

Alasan Ali kenapa Melaka melarang kaki tangannya kerana orang Pas kata orang Umno tidak Islam. Alasan Ali itu mengelirukan, Pas manakah yang mengatakan orang Umno tidak Islam? Kalau di Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat jadi MB sejak tahun 1990 tidak pernah pun terdengar yang beliau mengatakan orang Umno tidak Islam.

Malahan Nik Azizlah yang menghakiskan tuduhan Umno kafir, taghrut dan macam-macam itu sebaik beliau menjadi Pesuruhjaya Pas Kelantan. Ali tersilap dengar mungkin!

Adalah tidak bijaksana kalau Ali larang kakitangan kerajaan Melaka kerana beliau ada terdengar orang Pas negeri lain katakan Umno tidak Islam. Tindakan itu samalah dengan perumpamaan orang lain makan nangka orang lain terkena getah. Kalau begitu tidaklah adil si Ali ini.

Rasanya Ali bermimpi dengan alasan lapan tahun dulu itu. Ataupun waktu itu beliau merasakan dia kuat maka dikeluarkan arahan-arahan tidak masuk akal seperti melarang orang Melaka mengunjungi Kelantan itu.

Hari ini setelah dia sedar dan berada atas hakikat politik, arahan itu dimansuhkan. Kini Ali sendiri ke Kelantan untuk mempromosikan negeri Melaka. Tidakkah Ali merasa malu dan bersalah dengan arahan sebelum ini? Jika Ali ada maruah dan air muka dia kena minta maaf kepada kakitangan Kerajaan Melaka dan rakyat Kelantan. Arahan beliau tahun 2000 itu menghina rakyat Kelantan dan seolah rakyat Kelantan anti orang negeri lain. Arahan itu juga menampakkan dia sendiri jahil mengenai politik.

Apakah juga kerana beliau kini sedang bertarung nyawa untuk bertanding Timbalan Presiden Umno maka beliau melonggarkan segala arahan-arahan ketal dan tidak tamadun itu? Dalam orang menguar-uarkan dunia tanpa sempadan Ali mengambil tindakan surut ke belakang dengan arahan melarang kakitangan ke Kelantan. Kalau itulah pemikiran dipraktikan Ali macam mana beliau mahu jadi timbalan presiden Umno?

Apapun atas kesedaran itu diucapkan terima kasih kepada Ali. Mudah-mudahan Ketua Menteri Melaka itu tidak akan menjadi bodoh untuk kali keduanya. - TPT 50/08

Label:

Azizan Razak

TEBANGLAH USTAZ DEMI KEBAIKAN KEDAH

Assalamualaikum... Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata kerajaan negeri Kedah tidak dapat mengelak daripada menebang balak dalam hutan simpanan untuk menampung perbelanjaan negeri itu. Walaupun langkah itu ditegur dan dikritik oleh banyak pihak termasuk pencinta alam namun beliau tidak akan peduli. Alasannya kalau duit sudah tidak ada ada, macam mana nak jaga rakyat. Balak itu ditebang untuk mengisi kantung operbendaharaan negeri.

Menurutnya lagi tindakan menebang balak itu juga ialah kerana kegagalan kerajaan Persekutuan membayar pampasan sebanyak RM100 juta sebagai khidmat alam sekitar pada masa akan datang.

Saya setuju sangatlah dengan langkah Azizan itu. Ya kalau dah nak belanja tidak ada duit, dapur dah tak berasap anak-anak (rakyat kebuluruan), kenalah lakukan sesuatu. Jangan peduli apa kata orang, yang penting rumah tangga kita tidak melarat dan anak-anak tidak kelaparan dan kerajaan negeri dapat berjalan dengan baik.

Orang lain hanya tahu mengkritik saja tetapi liat untuk membantu. Sebelum ini Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pun ada menengur rancangan Azizan Razak itu. Yang baiknya jangan tegur saja tetapi perlu bantu Kedah. Sepatutnya Guan Eng memikirkan bagaimana nak tampung perbelanjaan kerajaan Kedah. Bukankah Pulau Pinang kaya?

Langkah diambil Azizan Razak itu samalah dengan apa dilakukan oleh seorang ayah, terpaksa bergadai nyawa dan mengadai barangan purba untuk menjamin kehidupan anak-anak dan rumah tangga. Kalau keadaan sudah memaksa betapa sayang pun kepada harta warisan berkenaan apa nak dikatakan lagi.

Manusia akan lakukan apa saja untuk survival samada ianya baik atau tidak halal atau haram. Kepada Azizan usah peduli kepada komenter orang lain berbuatlah apa yang Ustaz rasakan baik hanya kita yang mengetahui apa yang kita lakukan! - TPT 49/08.

Label:

Isnin, 1 Disember 2008

Mukhriz Mahathir

ANAK LEBIH BIJAK DARIPADA BAPAK?

Assalamualaikum... Selepas orang lain bersuara dan berkokok menghentam dan mengecam Chua Soi Lek yang mempersoalkan ketuanan Melayu barulah Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir tampil ikut sama mengecam Timbalan Presiden MCA itu. Mungkin selepas bapanya, Mahathir Mohamad suruh baru calon ketua Pemuda itu berani bersuara.

Selalunya begitulah. Mukhriz sering bercakap selepas bapaknya bercakap. Mukhriz jarang mendahului dalam memberi apa-apa pandangan atau membuat kritikan sebelum bapaknya bercakap. Apakah beliau seorang anak yang patuh dan menghormati orang tua ataupun seorang anak yang menumpang idea dan tuah bapak?

Kali ini pandangan Mukhriz agak berbisa juga. Kalau pandangan itu tidak datang dari kepala bapaknya kita boleh angkat tangan. Mukhriz sambil menghentam Chua Soi Lek turut sama memgemukakan cadangan aga sistem pendidikan di negara ini diadakan dalam satu sistem saja, iaitu pendidikan tunggal.

Di mana tidak ada sekolah kebangsaan Tamil, China dan sebagainya. Semuanya terhimpun dalam sisitem pendidikan tunggal. Alasan beliau ialah bagi mengelakkan berlakunya polarisasi kaum dan demi meningkatkan perpaduan di kalangan rakyat negara ini. Mukhriz percaya masalah polarisasi kaum disebabkan oleh sistem pendidikan yang berbeza bumbung.

Baguslah Mukhriz nampak sistem pendidikan negara inilah yang mengasingkan antara kaum dan menyebabkan perpaduan nasional yang diharapkan lambat menjelma.

Saya yakin pandangan beliau itu adalah pure daripadanya dan bukan pinjaman daripada bapanya. Kenapa? Kalau beliau berkata begitu atas nasihat bapaknya nampaklah kebodohan dan kelemahan bapanya semasa bapanya menjadi Perdana Menteri.

Kalau apa yang Mukhriz cakapkan itu atas kehendak Mahathir, orang akan tahu bagaimana Mahathir memutar otaknya dalam soal ini. Ia juga ternyata tidak lebih daripada satu gimik politik murahan untuk Mukhriz saja. Kerana kalau benar Mahathir berfahaman demikian kenapa beliau tidak wujudkan sistem pendidikan tunggal semasa beliau jadi PM dulu? Masakan si anak lebih bijak daripada si bapak?

Selama 22 tahun beliau menjadi PM, apakah beliau tidak terfikir. Selepas sudah bersara baru alih-alih baru terfikir masalah itu dan kesan daripada sistem pendidikan yang beliau sendiri meretuinya.

Kerana itu apa yang saya nampak di sebalik cadangan Mukhriz itu tidak lebih dan tidak kurang kerana ianya untuk dijadikan modal politik saja. Beliau mahu Pemuda Umno nampak yang beliau ada pandangan bernas dan untuk itu layak dipilih menjadi Ketua Pemuda. - TPT 47/08

Label:

Ahad, 30 November 2008

Muhyiddin Yaasin

TUNGGU APA LAGI PECATLAH ZAID!

Assalamualaikum... Kata Tan Sri Muhyiddin Yassin bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim kena perjelaskan kepada jawatankuasa disiplin kenapa beliau menghadiri kongres pARTI Keadilan Rakyat sebelum diambil tindakan.

Menurut Muhyiddin sudah acap kali Zaid menghadiri majlis pembangkang dan tindakan itu sebagai tidak setia kepada parti.

Sebenarnya Muhyiddin tidak perlu banyak berdolak dalih lagi untuk ambil tindakan ke atas Zaid. Zaid tidak juga payah menjelaskan mengenai kehadirannya ke majlis parti pembangkang. Apa yang Zaid lakukan menunjukkan dia sudah tidak percaya dan tidak yakin lagi dengan Umno lagi.

Jadi untuk apa disimpan orang yang sudah tidak yakin kepada Umno? Zaid juga nampaknya sengaja melakukan berbagai 'kesilapan' untuk membolehkan Umno mengambil tindakan kepadanya. Saya rasa sebaik saja beliau dikenakan tindakan, beliau akan terus menyertai pembangkang.
Akhir-akhir ini nampak sangat Umno begitu berhati-hati untuk mengambil tindakan kepada ahlinya. Kenapa berlaku demikian? Apakah Umno merasakan tindakan-tindakan itu nanti merugikan parti berkenaan?

Dalam kes Zaid ini tunggu lagi! Muhyiddin juga sebelum merasakan tindakan Zaid itu menyalahi disiplin parti beliau juga kena melihat ke dalam dirinya sendiri. Apakah dengan mendesak Datuk Seri Abdullah Badawi mempercepatkan melaksanakan pelan peralihan kuasa bukan satu kesalahan?

Muhyiddin janganlah nampak kuman di seberang laut tapi tidak nampak gajah yang tergolek di hadapan mata! Jangan pula nanti dibilang orang hipokrit ataupun munafik! - TPT 46/08

Label:

Jumaat, 28 November 2008

Abdullah Badawi

SEMUA AHLI UMN UMNO PERLU DIPECAT

Assalamualaikum... Kata Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Badawi mana-mana pemimpin Umno yang menang dan didapati menggunakan wang mereka itu akan dilucutkan jawatan. Beliau menyebut dan mengingatkan apa yang berlaku kepada Tan Sri Mohd Isa Samad tahun 2004 dulu, di mana bekas MB Negeri Sembilan itu digantung keahliannya dan automatik kedudukannya sebagai Naib Presiden terlucut apabila didapati melakukan rasuah.

Bunyi tegas dan konsisten sekali Abdullah mengenai rasuah dalam Umno. Apakah beliau benar-benar tegas dan akan berpegang kepada harapannya itu? Ataupun kata-kata itu untuk memberi gambaran kepada umum Abdullah benci kepada politik wang.

Kalau benar Abdullah nak benteraskan rasuah dalam Umno beliau tidak perlu tunggu selepas mereka yang melakukan rasuah itu menang dalam pertandingan. Apa yang perlu dilakukan mana-mana calon yang menggunakan wang dan rasuah dibatalkan kelayakan mereka daripada meneruskan pertandingan.

Tindakan menghukum selepas selesai pertandingan dirasakan tidak pratikal dan memberi kesan kepada usaha untuk membenteraskan rasuah dalam Umno. Cara itu juga dirasakan membuang masa dan menyebabkan Umno akan kelompongan penjawat jawatan yang dikenakan tindakan itu.

Tidak susah kalau Abdullah dan Umno nak hapuskan rasuah dan hendak ambil tindakan kepada ahli-ahli yang menggunakan wang dan melakukan rasuah. Umno sendiri dapat merasakan dan dapat melihat dengan jelas mana-mana calon yang menggunakan wang bagi memastikan dipilih oleh perwakilan pada sepanjang mesyuarat bahagian lalu.

Di mana saja dalam Umno dari semua peringkat pemimpin bercakap mengenai rasuah. Ia bukan perkara tersembunyi dan mengaibkan lagi. Rasuah berlaku secara terbuka dan berleluasa dan kadang-kadang suaratu kebanggaan pula kepada mereka. Cuma yang menjadi masalahnya bukti secara teknikal tidak dapat dikemukakan.
Ini tidak menjadi masalah, sekrianya ahli Umno benar-benar ikhlas dan hendak menghapuskan rasuah mereka kena jujur dan ikhlas tampil menyerahkan diri seorang demi seorang.

Kerana itu saya rasa apa yang ditegaskan Abdullah itu hanya sebagai retorik saja bagi menunjukkan Umno concern untuk menghapuskan rasuah. Walhal dari segi hakikinya Umno suka kepada rasuah kerana dengan cara itu memberi dan menambahkan rezeki tersepak kepada ahli Umno.

Lagipun kalau hendak diambil tindakan berhubung rasuah ini semua ahli Umno yang bakal memegang jawatan selepas Mac depan kena dilucutkan jawatan kerana semua yang mendapat pencalonan sedikit sebanyak menggunakan wang bagi memastikan layak bertanding.

Kalaupun yang tidak menggunakan wang hanya Abullah seorang saja sebab beliau awal-awal lagi sudah mengangkat bendera putih tidak berani untuk melawan Mohd Najib Razak ! - TPT 46/08

Label:

Khamis, 20 November 2008

Mahathir Mohamad

PUNCA MELAYU LEMAH DAN HILANG IDENTITI

Assalamualaikum ... Tun Mahathir Mohamad telah membuang tabiat dengan mengajar orang Melayu supaya bertindak menyerang bukan hanya setakat bertindak mempertahankan diri dengan mempertikaikan saja terhadap mereka yang membangkit dan membangkitkan hak-hak orang Melayu. Rasanya inilah seruan yang keras dan sudah lama ditunggu dari mulut bekas PM itu.

Katanya, ramai orang Melayu bersikap mempertahankan diri dan bukan menyerang. Seruan Mahathir itu sebenarnya sudah lama ditunggu. Tindakan paling bagus ialah dengan menyerang mereka yang cuba menganggu hak-hak kita. Kalau setakat merunggut, mendedah, melahirkan berbagai kenyataan, berdemonstrasi saja ia tidak memberi apa-apa kesan.

Bagaimana pun saya ingin tanya kepada bekas PM 22 tahun itu. Mengenai nasib dan masalah yang orang Melayu hadapi kini siapakah yang menjadi puncanya? Maksudnya siapakah yang membuat Melayu lemah, penakut dan seterusnya kelupusan banyak hak-hak keistimewaan mereka yang diwarisi dan dinikmati selama ini.

Saya ingin tanya siapakah yang menghapuskan bahasa Melayu? Siapakah yang mengagaskan rakyat negara ini menjadi bangsa Malaysia? Siapakah yang mepelopori dasar liberalisma. Siapakah memperkenalkan dasar mitokarasi dalam pendidikan, pemilikan ekuiti ekonomi dan sebagainya. Siapa? Siapa?

Bukankah dengan tindakan itu semua menyebabkan keistimewaan dan kedudukan Melayu makin terhakis dan terkikis. Kalau dulu kita boleh berbangga dengan bahasa Melayu, hari ini apa yang menjadi kebanggaan kita itu sudah tidak ada lagi. Bahasa Melayu semakin terpinggir dan tersingkir.

Begitu juga mengenai bilangan penuntut kita di universiti awam berada pada tahap yang boleh membanggakan. Tetapi apabila sistem mitokrasi diperkenalkan angka itu sudah berkurangan. Angka bukan Melayu bertambah baik di IPTS dan IPTA.

Demikian juga di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kalau dulu Melayu boleh berbangga dengan jumlah pelajar Melayu luar bandar di maktab itu dan merasakan maktab itu maktab elit Melayu kini keadaan itu sudah berubah. Ia tidak lagi menjadi maktab atau sekolah elit Melayu marhaen. Kuota untuk Melayu kini sudah dirampas oleh bukan Melayu menerusi sistem mitokrasi.

Jika dihitung dan diteliti semua masalah itu berlambak dan berlaku zaman Tun Mahathir jadi PM. Jadi kalau hari ini beliau tiba-tiba jadi banyak mulut bercakap fasal Melayu, mengajar orang Melayu menyerang dan melawan ia sudah terlewat. Kenapa selama 22 tahun menjadi PM beliau tidak mengajar dan mendidik orang Melayu menjadi berani begitu?

Itulah orang Melayu bila sudah terhantuk baru nak tergandah. Orang Melayu selalunya menyesal kemudian setelah nasi menjadi bubur. Jadi bagi saya kesilapan yang membawa kepada kelemahan orang Melayu hari ini ialah kerana Mahathir. Selama 22 tahun beliau membuat eksprimen kononnya untuk menguatkan Melayu, sebaliknya melemah dan menghancurkan Melayu.

Kekerapan Mahathir bercakap mengenai Melayu hari ini adalah satu tindakan bagi memperbetulkan kesilapan beliau tiga dekad lalu. Betapa berbueh mulutnya bercakap dosa lama tetap tidak terampun. Hakikat kelemahan Mahathir dalam bab ini diakui apabila beliau menangis mengakui gagal untuk mengubah nasib dan sikap orang Melayu. - TPT 45/08

Label:

Ahad, 16 November 2008

Shahrizat Jalil

JANGAN TERTIPU DENGAN RAFIDAH

Assalamualaikum... Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil masih belum membuat keputusan samada akan menentang Tan Sri Rafidah Aziz atau sebaliknya. Beliau khabarnya dijangka akan mengumumkan pendirian itu sehari dua lagi. Shahriat kini berada dalam keadaan delima apabila Datuk Kamilia Ibrahim tidak akan berganjak lagi dengan keputusannya akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden. Keputusan Kamilia muktamad!

Shahrizat harus bijak dalam membuat keputusan. Hari ini beliau seperti akur dengan pelan peralihan kuasa - sebenarnya peralihan jawatan antara beliau dengan Rafidah Aziz pada Jun depan. Apa yang penting bagi Shahrizat ialah mengenali hati budi Rafidah dan tahu kongkaling politik bekas menteri berkenaan.

Yang Shahrizat kena baca ialah apakah Rafidah ada kejujuran dengan kata-kata dan janjinya itu? Apakah beliau akan akur untuk menyerahkan kuasa kuasa (berundur) pada tarikh disebutkan itu. Apakah ia tidak akan berubah dan berdolak dalih macam Muhyiddin Yassin dengan Abdullah Badawi. Apakah keputusan itu kekal sekiranya kalau tertakdir Rafidah tiba-tiba masuk semua ke dalam Kabinet? Ini semua Shahrizat kena hitung dan kena congak sebaik mungkin agar jangan menyesal dikemudian hari.

Di sini ada sedikit formula untuk Shahrizat bagi keluar dalam kemelut yang dihadapi hari ini. Beliau harus mengenali Rafidah dan membaca sejarah politik Rafidah sebelum ini. Mungkin Shahrizat tidak banyak mengenali dan mengetahui lenggang lenggung atau goyang gerudi politik Rafidah.

Rafidah seorang yang tidak pernah kekal kesetiaaan dan sokongan kepada seseorang. Masa beliau muda-muda dulu idola beliau ialah Tengku Razaleigh Hamzah. Tengku Razaleighlah yang mendidik beliau sehingga memungkin menduduki jawatan menteri. Ketika itu Tengku Razaleigh lah segala-galanya. Kebetulan beliau timbalan kepada Tengku Razaleigh.

Bagaimana Rafidah menangis tersendu-sendu apabila Tenguku Razaleigh kalah kepada Tun Mahathir Mohamad dalam pertandingan merebut presiden Umno. Melihat kepada cara Rafidah menangis seakan beliau akan hidup semati dengan Tengku Razaleigh Hamzah. Tetapi apa jadi selepas itu. Bila beliau dilantik menjadi menteri beliau paling punggung bulat kepada Tengku Razaleigh dan berlutut pula kepada Mahathir Mohamad.

Sekali lagi air mata Rafidah berjujuhan dan tumpah apabila Mahathir tiba-tiba mengumumkan untuk berundur dan melepaskan jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno. Orang masih ingat bagaimana Rafidah macam diserang histeria memujuk Mahathir, why...why... why? Beliau melompat sampai tumit kasur tumit tingginya setinggi tiga inchi patah dan punah.

Begitu juga apabila Abdullah melantik beliau menjadi menteri Kabinet beliau puji Abdullah melangit. Tetapi apa jadi selepas Abdullah mengugurkannya!

Dari perisitwa itu menjelaskan siapa dia Rafidah sebenarnya. Shahrizat harus mengkajinya. Tidak mustahil untuk mengekalkan jawatannya kelak dan dalam menagih jawatan menteri daripada Mohd Najib Razak, Rafidah sekali lagi akan menangis. Beliau akan melutut di kaki Najib dan melemah gemulaikan hati Najib dengan airmata pohon simpati jadi menteri. Beliau akan gunakan budi dan jasanya dalam berusaha menjatuhkan Abdullah dan menaikkan Najib.

Juga tidak mustahil kalau selepas Jun nanti dia akan mnangis dan merayu kepada Shahrizat sendiri akan melupai pelan peralihan kuasa itu untuk setahun dua lagi. Tidak mustahil. Seorang pelakon handalan boleh melakukan apa saja watak dan dalam situasi bagaimana sekalipun. Rafidah adalah aktor terbaik dalam politik.

Kalau itu berlaku nanti bermakna Shahrizat akan mengigit jari dan kesannya kepada wanita Umno yang akan terus berketuakan kepada Rafidah. Wanita Umno tidak akan berubah dan akan berada ditakuk lama juga.

Itu satu hal. Apakah Shahrizat tidak terfikir tiba-tiba beliau akan kecundang ditangan Kamilia dalam perebutan jawatan Naib Ketua nanti? Kalau ini berlaku Shahrizat akan kecewa dua kali. Sebaliknya kalau beliau memutuskan untuk menentang Rafidah untuk jawatan Ketua, beliau sudah hampir pasti akan menang memandangkan sokongan dan arus yang berlaku dalam pegerakan itu kini. Shahrizat juga harus berfikir apakah beliau perlu menjadi ketua kepada Kamilia atau terus menjadi pengikut kepada Rafidah?

Kepada Shahrizat gunakan masa yang tersisa ini untuk menentukan nasib politiknya. Keputusan tepat penting kerana jika silap beliau akan menjadi abu berterbangan. - TPT 43/08

Label: