Ahad, 16 November 2008

Shahrizat Jalil

JANGAN TERTIPU DENGAN RAFIDAH

Assalamualaikum... Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil masih belum membuat keputusan samada akan menentang Tan Sri Rafidah Aziz atau sebaliknya. Beliau khabarnya dijangka akan mengumumkan pendirian itu sehari dua lagi. Shahriat kini berada dalam keadaan delima apabila Datuk Kamilia Ibrahim tidak akan berganjak lagi dengan keputusannya akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden. Keputusan Kamilia muktamad!

Shahrizat harus bijak dalam membuat keputusan. Hari ini beliau seperti akur dengan pelan peralihan kuasa - sebenarnya peralihan jawatan antara beliau dengan Rafidah Aziz pada Jun depan. Apa yang penting bagi Shahrizat ialah mengenali hati budi Rafidah dan tahu kongkaling politik bekas menteri berkenaan.

Yang Shahrizat kena baca ialah apakah Rafidah ada kejujuran dengan kata-kata dan janjinya itu? Apakah beliau akan akur untuk menyerahkan kuasa kuasa (berundur) pada tarikh disebutkan itu. Apakah ia tidak akan berubah dan berdolak dalih macam Muhyiddin Yassin dengan Abdullah Badawi. Apakah keputusan itu kekal sekiranya kalau tertakdir Rafidah tiba-tiba masuk semua ke dalam Kabinet? Ini semua Shahrizat kena hitung dan kena congak sebaik mungkin agar jangan menyesal dikemudian hari.

Di sini ada sedikit formula untuk Shahrizat bagi keluar dalam kemelut yang dihadapi hari ini. Beliau harus mengenali Rafidah dan membaca sejarah politik Rafidah sebelum ini. Mungkin Shahrizat tidak banyak mengenali dan mengetahui lenggang lenggung atau goyang gerudi politik Rafidah.

Rafidah seorang yang tidak pernah kekal kesetiaaan dan sokongan kepada seseorang. Masa beliau muda-muda dulu idola beliau ialah Tengku Razaleigh Hamzah. Tengku Razaleighlah yang mendidik beliau sehingga memungkin menduduki jawatan menteri. Ketika itu Tengku Razaleigh lah segala-galanya. Kebetulan beliau timbalan kepada Tengku Razaleigh.

Bagaimana Rafidah menangis tersendu-sendu apabila Tenguku Razaleigh kalah kepada Tun Mahathir Mohamad dalam pertandingan merebut presiden Umno. Melihat kepada cara Rafidah menangis seakan beliau akan hidup semati dengan Tengku Razaleigh Hamzah. Tetapi apa jadi selepas itu. Bila beliau dilantik menjadi menteri beliau paling punggung bulat kepada Tengku Razaleigh dan berlutut pula kepada Mahathir Mohamad.

Sekali lagi air mata Rafidah berjujuhan dan tumpah apabila Mahathir tiba-tiba mengumumkan untuk berundur dan melepaskan jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno. Orang masih ingat bagaimana Rafidah macam diserang histeria memujuk Mahathir, why...why... why? Beliau melompat sampai tumit kasur tumit tingginya setinggi tiga inchi patah dan punah.

Begitu juga apabila Abdullah melantik beliau menjadi menteri Kabinet beliau puji Abdullah melangit. Tetapi apa jadi selepas Abdullah mengugurkannya!

Dari perisitwa itu menjelaskan siapa dia Rafidah sebenarnya. Shahrizat harus mengkajinya. Tidak mustahil untuk mengekalkan jawatannya kelak dan dalam menagih jawatan menteri daripada Mohd Najib Razak, Rafidah sekali lagi akan menangis. Beliau akan melutut di kaki Najib dan melemah gemulaikan hati Najib dengan airmata pohon simpati jadi menteri. Beliau akan gunakan budi dan jasanya dalam berusaha menjatuhkan Abdullah dan menaikkan Najib.

Juga tidak mustahil kalau selepas Jun nanti dia akan mnangis dan merayu kepada Shahrizat sendiri akan melupai pelan peralihan kuasa itu untuk setahun dua lagi. Tidak mustahil. Seorang pelakon handalan boleh melakukan apa saja watak dan dalam situasi bagaimana sekalipun. Rafidah adalah aktor terbaik dalam politik.

Kalau itu berlaku nanti bermakna Shahrizat akan mengigit jari dan kesannya kepada wanita Umno yang akan terus berketuakan kepada Rafidah. Wanita Umno tidak akan berubah dan akan berada ditakuk lama juga.

Itu satu hal. Apakah Shahrizat tidak terfikir tiba-tiba beliau akan kecundang ditangan Kamilia dalam perebutan jawatan Naib Ketua nanti? Kalau ini berlaku Shahrizat akan kecewa dua kali. Sebaliknya kalau beliau memutuskan untuk menentang Rafidah untuk jawatan Ketua, beliau sudah hampir pasti akan menang memandangkan sokongan dan arus yang berlaku dalam pegerakan itu kini. Shahrizat juga harus berfikir apakah beliau perlu menjadi ketua kepada Kamilia atau terus menjadi pengikut kepada Rafidah?

Kepada Shahrizat gunakan masa yang tersisa ini untuk menentukan nasib politiknya. Keputusan tepat penting kerana jika silap beliau akan menjadi abu berterbangan. - TPT 43/08

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama