Isnin, 10 November 2008

Tengku Razaleigh

JADI GURKHA SELAMANYA

Assalamualaikum... Mungkin juga menjadi satu pertanyaan menarik ke manakah Tengku Razaleigh Hamzah selepas ini selepas beliau gagal untuk ikut sama merebut jawatan dalam Umno. Beliau hanya mendapat satu pencalonan dari bahagiannya sendiri untuk bertanding jawatan Presiden Umno. Angka itu menyebabkan Tengku Razaleigh automatik tidak layak untuk bertanding jawatan itu.
Hampir semua bahagian telah mencalonkan Datuk Seri Mohd Najib Razak. Najib mendapat 184 pencalonan.

Ada lima bahagian lagi yang belum menyelesaikan mesyuarat masing-masing kerana berbagai sebab. Adalah dipercayai kelima bahagian itu juga akan memberi pencalonan kepada Najib.

Ke manakah Tengku Razaleigh selepas ini? Apakah beliau tahan muka untuk menghadiri perhimpunan agung pada Mac depan atau beliau tidak akan menghadirinya? Sebagai seorang setia pada parti tidak ada sebab untuk Tengku Razaleigh tidak menghadiri perhimpunan itu. Tidak seperti Tun Mahathir bila kalah sebagai perwakilan di Kubang Pasu terus pulau persidangan Umno.

Sebelum ini pun beliau pernah gagal mendapat pencalonan untuk bertanding jawatan itu namun beliau tetap menghadiri perhimpunan agung Umno seperti biasa. Inilah kelebihan dan kehebatan Tengku Razaleigh. Tentunya beliau akan mencari kata-kata yang indah dan tepat untuk menjustifikasikan kenapa beliau gagal untuk mendapat pencalonan.

Isu politik wang sudah tentu akan digunakan oleh beliau. Beberapa hari sebelum mesyuarat Umno selesai beliau ada membuat kenyataan berhubung politik wang. Beliau mendedahkan ada bahagian meminta sampai RM2 juta untuk menjamin beliau mendapat pencalonan. Benarkah dan kenapa beliau tidak bersedia memenuhinya?

Pendedahan itu seolah beliau ingin menjelaskan kenapa beliau gagal mendapat pencalonan ialah kerana beliau tidak main duit. Tidak hulur duit bukan kerana beliau sudah terkeluar jauh dari kriteria yang dikehendaki perwakilan pada zaman kini.

Anih juga memikirkan soal Tengku Razaleigh ini. Apakah beliau tidak tahu dan tidak reti mengenai budaya yang berlaku dalam Umno. Bukankah sudah lama Umno mengamalkan politik wang. Apakah Tengku Razaleigh lupa perkara ini atau buat-buat lupa dengan harapan kalau ada rezeki beliau mendapat pencalonan cukup?

Sepatutnya beliau ingat perkara ini dan beliau tidak susah-susah untuk ikut sama bertanding kalau beliau tidak mahu tabur wang. Tetapi apabila masuk juga sedangkan beliau sudah tahu natijahnya ini menunjukkan Tengku Razaleigh seolah tidak faham politik dan kurang pandai bermain politik.

Saya tidak percaya beliau tidak cukup wang untuk merasuah perwakilan. Tengku Razaleigh tidak kehabisan wang. Apabila beliau tidak sanggup berbuat begitu tetapi beliau ingin juga nak bertanding bermakna beliau tidak bijaksana dan sengaja menempah malu.
Tidakkah dengan apa yang berlaku sekarang ia memalukan ahli Parlimen Gua Musang itu? Bagaimana pun bila saya ingat beliau pernah berkata semasa nak masuk semula Umno dulu yang beliau rela menjadi gurkha kepada Umno, nasib yang diterima Tengku Razaleigh itu tidak sedikit menghairankan. Nampaknya beliau benar-benar menjadi gurkha sepanjang hayat dalam Umno. Nasib... nasib!- TPT 40/08.

Label:

1 Ulasan:

Di 11 November 2008 pada 9:14 PG, Blogger . berkata...

saya fikir tengku razaleigh adalah pemimpin berjiwa besar. yang penting ialah perjuangan.

 

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama