Ali Rustam
ALI BARU CELIK POLITIK
Assalamualaikum ... Mujurlah akhirnya Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam akhirnya berpijak juga di bumi nyata. Mulai hari ini beliau memberi tahu kerajaan negeri Melaka menarik balik larangan kakitangannya daripada mengunjungi Kelantan. Arahan itu dikeluarkan sejak lapan tahun lalu.
Alasan Ali kenapa Melaka melarang kaki tangannya kerana orang Pas kata orang Umno tidak Islam. Alasan Ali itu mengelirukan, Pas manakah yang mengatakan orang Umno tidak Islam? Kalau di Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat jadi MB sejak tahun 1990 tidak pernah pun terdengar yang beliau mengatakan orang Umno tidak Islam.
Malahan Nik Azizlah yang menghakiskan tuduhan Umno kafir, taghrut dan macam-macam itu sebaik beliau menjadi Pesuruhjaya Pas Kelantan. Ali tersilap dengar mungkin!
Adalah tidak bijaksana kalau Ali larang kakitangan kerajaan Melaka kerana beliau ada terdengar orang Pas negeri lain katakan Umno tidak Islam. Tindakan itu samalah dengan perumpamaan orang lain makan nangka orang lain terkena getah. Kalau begitu tidaklah adil si Ali ini.
Rasanya Ali bermimpi dengan alasan lapan tahun dulu itu. Ataupun waktu itu beliau merasakan dia kuat maka dikeluarkan arahan-arahan tidak masuk akal seperti melarang orang Melaka mengunjungi Kelantan itu.
Hari ini setelah dia sedar dan berada atas hakikat politik, arahan itu dimansuhkan. Kini Ali sendiri ke Kelantan untuk mempromosikan negeri Melaka. Tidakkah Ali merasa malu dan bersalah dengan arahan sebelum ini? Jika Ali ada maruah dan air muka dia kena minta maaf kepada kakitangan Kerajaan Melaka dan rakyat Kelantan. Arahan beliau tahun 2000 itu menghina rakyat Kelantan dan seolah rakyat Kelantan anti orang negeri lain. Arahan itu juga menampakkan dia sendiri jahil mengenai politik.
Apakah juga kerana beliau kini sedang bertarung nyawa untuk bertanding Timbalan Presiden Umno maka beliau melonggarkan segala arahan-arahan ketal dan tidak tamadun itu? Dalam orang menguar-uarkan dunia tanpa sempadan Ali mengambil tindakan surut ke belakang dengan arahan melarang kakitangan ke Kelantan. Kalau itulah pemikiran dipraktikan Ali macam mana beliau mahu jadi timbalan presiden Umno?
Apapun atas kesedaran itu diucapkan terima kasih kepada Ali. Mudah-mudahan Ketua Menteri Melaka itu tidak akan menjadi bodoh untuk kali keduanya. - TPT 50/08
Label: JAHIL
Azizan Razak
TEBANGLAH USTAZ DEMI KEBAIKAN KEDAH
Assalamualaikum... Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata kerajaan negeri Kedah tidak dapat mengelak daripada menebang balak dalam hutan simpanan untuk menampung perbelanjaan negeri itu. Walaupun langkah itu ditegur dan dikritik oleh banyak pihak termasuk pencinta alam namun beliau tidak akan peduli. Alasannya kalau duit sudah tidak ada ada, macam mana nak jaga rakyat. Balak itu ditebang untuk mengisi kantung operbendaharaan negeri.
Menurutnya lagi tindakan menebang balak itu juga ialah kerana kegagalan kerajaan Persekutuan membayar pampasan sebanyak RM100 juta sebagai khidmat alam sekitar pada masa akan datang.
Saya setuju sangatlah dengan langkah Azizan itu. Ya kalau dah nak belanja tidak ada duit, dapur dah tak berasap anak-anak (rakyat kebuluruan), kenalah lakukan sesuatu. Jangan peduli apa kata orang, yang penting rumah tangga kita tidak melarat dan anak-anak tidak kelaparan dan kerajaan negeri dapat berjalan dengan baik.
Orang lain hanya tahu mengkritik saja tetapi liat untuk membantu. Sebelum ini Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pun ada menengur rancangan Azizan Razak itu. Yang baiknya jangan tegur saja tetapi perlu bantu Kedah. Sepatutnya Guan Eng memikirkan bagaimana nak tampung perbelanjaan kerajaan Kedah. Bukankah Pulau Pinang kaya?
Langkah diambil Azizan Razak itu samalah dengan apa dilakukan oleh seorang ayah, terpaksa bergadai nyawa dan mengadai barangan purba untuk menjamin kehidupan anak-anak dan rumah tangga. Kalau keadaan sudah memaksa betapa sayang pun kepada harta warisan berkenaan apa nak dikatakan lagi.
Manusia akan lakukan apa saja untuk survival samada ianya baik atau tidak halal atau haram. Kepada Azizan usah peduli kepada komenter orang lain berbuatlah apa yang Ustaz rasakan baik hanya kita yang mengetahui apa yang kita lakukan! - TPT 49/08.
Label: BALAK
Mukhriz Mahathir
ANAK LEBIH BIJAK DARIPADA BAPAK?
Assalamualaikum... Selepas orang lain bersuara dan berkokok menghentam dan mengecam Chua Soi Lek yang mempersoalkan ketuanan Melayu barulah Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir tampil ikut sama mengecam Timbalan Presiden MCA itu. Mungkin selepas bapanya, Mahathir Mohamad suruh baru calon ketua Pemuda itu berani bersuara.

Selalunya begitulah. Mukhriz sering bercakap selepas bapaknya bercakap. Mukhriz jarang mendahului dalam memberi apa-apa pandangan atau membuat kritikan sebelum bapaknya bercakap. Apakah beliau seorang anak yang patuh dan menghormati orang tua ataupun seorang anak yang menumpang idea dan tuah bapak?
Kali ini pandangan Mukhriz agak berbisa juga. Kalau pandangan itu tidak datang dari kepala bapaknya kita boleh angkat tangan. Mukhriz sambil menghentam Chua Soi Lek turut sama memgemukakan cadangan aga sistem pendidikan di negara ini diadakan dalam satu sistem saja, iaitu pendidikan tunggal.
Di mana tidak ada sekolah kebangsaan Tamil, China dan sebagainya. Semuanya terhimpun dalam sisitem pendidikan tunggal. Alasan beliau ialah bagi mengelakkan berlakunya polarisasi kaum dan demi meningkatkan perpaduan di kalangan rakyat negara ini. Mukhriz percaya masalah polarisasi kaum disebabkan oleh sistem pendidikan yang berbeza bumbung.
Baguslah Mukhriz nampak sistem pendidikan negara inilah yang mengasingkan antara kaum dan menyebabkan perpaduan nasional yang diharapkan lambat menjelma.
Saya yakin pandangan beliau itu adalah pure daripadanya dan bukan pinjaman daripada bapanya. Kenapa? Kalau beliau berkata begitu atas nasihat bapaknya nampaklah kebodohan dan kelemahan bapanya semasa bapanya menjadi Perdana Menteri.
Kalau apa yang Mukhriz cakapkan itu atas kehendak Mahathir, orang akan tahu bagaimana Mahathir memutar otaknya dalam soal ini. Ia juga ternyata tidak lebih daripada satu gimik politik murahan untuk Mukhriz saja. Kerana kalau benar Mahathir berfahaman demikian kenapa beliau tidak wujudkan sistem pendidikan tunggal semasa beliau jadi PM dulu? Masakan si anak lebih bijak daripada si bapak?
Selama 22 tahun beliau menjadi PM, apakah beliau tidak terfikir. Selepas sudah bersara baru alih-alih baru terfikir masalah itu dan kesan daripada sistem pendidikan yang beliau sendiri meretuinya.
Kerana itu apa yang saya nampak di sebalik cadangan Mukhriz itu tidak lebih dan tidak kurang kerana ianya untuk dijadikan modal politik saja. Beliau mahu Pemuda Umno nampak yang beliau ada pandangan bernas dan untuk itu layak dipilih menjadi Ketua Pemuda. - TPT 47/08
Label: POLARISASI