Selasa, 21 Oktober 2008

Rais Yatim

BILA RAIS MEMBELI KERJA ORANG

Assalamualaikum... Datuk Seri Dr Rais Yatim telah membeli tugas baru. Barangkali tugas wajibnya di Kementerian Luar sudah beres, kalau tidak masakan dia sanggup memikul tugas orang lain. Tugas baru Rais ialah membidas mereka yang mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad. Mahathir dikritik orang Umno yang berpihak kepada Datuk Seri Abdullah Badawi kerana beliau telah cuba berlagak menjadi Pengarah dalam pemilihan Umno.

Pak Lah mengkritik teruk Mahathir semalam sehingga mengatakan Mahathir lebih baik tidak bercakap kerana tindakannya boleh menimbulkan perkelahian. Pak Lah juga kata Mahathir orang laur yang tidak berhak mencampuri urusan Umno. Ekoran kritikan Pak Lah itu ramailah yaang tukang tambah membidas sikap Mahathir itu.

Rais yang berada dalam Kabinet Abdullah nampaknya kurang selesa dengan kritikan terhadap Mahathir itu dan bertindak songsang dengan membidas balik orang-orang yang membidas Mahathir. Rais menjadi galang ganti. Kata Rais, Mahathir ada locus standi untuk berbuat demikian kerana Mahathir pernah menjadi presiden Umno selama 22 tahun.

Betul Mahathir ada locus standi dan sebagai orang tua beliau boleh tegur dan menunjuk ajar. Tetapi apakah yang Mahathir buat terhadap Pak Lah itu berdasarkan prinsip orang tua? Rais kena ingat yang jadi presiden kini Pak Lah bukannya Mahathir.

Bagi orang yang tahu tawarikh politik Rais Yatim tidak merasa hairan dengan tindakan beliau yang agak songsang dan kononnya profesional dan telus itu. Sebelum ini banyak tindakan politik Rais yang songsang dan menunjukkan tindakan-tindakannya tidak siuman kerana tidak konsisten ataupun mudah menjilat balik ludahnya.

Kira-kira lebih 15 tahun lalu, beliau pernah membakar jambatan kerana menyokong Team B yang diketuai Tengku Razaleigh. Maknanya laluan, lorong atau denainya untuk beliau kembali semula kepada Umno sudah tidak ada lagi. Pemerhati merasakan tindakan Rais itu terpuji kerana beliau meninggalkan parti yang dibenci ketika itu.

Namun apa sudah jadi selepas lima tahun selepas beliau merasmikan pembakaran jambatan itu? Selepas kehilangan jawatan sebagai menteri Kabinet, beliau kembali semula kepada Umno menerusi jambatan baru yang lebih kukuh. Beliaulah yang mendesak supaya Tengku Razaleigh membubarkan Semangat 46 dan menyertai semula Umno.

Begitu juga kalau tidak silap beliau juga telah menafikan rumusan dalam tesis Phd yang beliau buat sendiri berhubung demokrasi di Malaysia. Cukup dengan dua bukti itu bagi orang mengenali politik dan sikap dolak dalih atau lingkaran belut Rais.

Kenapa beliau membidas mereka yang menghentam Mahathir? Jawabnya mudah saja. Kini orang yang dibasuh oleh Mahathir (Najib Razak) akan jadi PM tidak lama lagi. Apa yang Rais harapkan mudah-mudahan keraja yang beliau beli itu akan dilihat oleh orang yang Mahathir basuh itu. Mudah-mudahan bila anak buah Mahathir itu naik jadi PM kelak beliau akan terus kekal menjadi jemaah Kabinet, menteri Kebajikan pun tidak mengapa.

Walaupun Rais petah bercakap, bahasa tersusun, penuh beradab berpatih dan kuat semangat Melayu namun perjuangan Rais dari dulu hingga kini ialah untuk jadi Menteri saja. Beliau tidak pernah ada cita-cita atau keazaman lebih daripada itu selain untuk jadi menteri (apa saja) demi memenuhi kehendak isterinya Misnah Rais. Sepanjang menjadi Kabinet tidak ternampak apakah kerja yang beliau lakukan selain daripada dikenali sebagai seorang yang mahir bercakap dengan menggunakan bahasa yang betul!- TPT 22/08.

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama