Isnin, 13 Oktober 2008

Tengku Razaleigh

TENGKU RAZALEIGH CIPLAK IDEA ANWAR IBRAHIM

Assalamualaikum... Seorang teman telah mengSMSkan kepada saya supaya tidak terlepas daripada menonton temuramah khas Tengku Razaleigh Hamzah di Astro Awani malam ini. Saya menahan diri untuk menyaksikan rancangan berkenaan. Saja mahu melihat apakah gagasan atau pun visi yang hendak dibawa oleh Tengku Razaleigh sekiranya beliau menjadi Presiden Umno.

Saya mengharapkan kesempatan beliau muncul dalam rancangan itu digunakan sepenuhnya bagi mengemukakan idea dan juga membentangkan manifestonya kenapa beliau beriya hendak tanding Presiden walaupun beliau sudah melewati sempadan usia yang dikehendaki generasi muda Umno kini.

Menurut Datuk Seri Mohd Najib Razak era ayahnya dalam Umno kini sudah berakhir maka orang sezaman dengan ayahnya sudah tidak cocok lagi dengan Umno. Apakah Tengku Razaleigh tidak memahami pernyataan itu dan mahu juga menembusi bukit pejal sedangkan staminanya sudah berkurangan.

Maka itu saya kira temuramah langsung itu penting untuk mengemukakan sesuatu yang menarik dan memecah liur perwakilan Umno bahagian kerana sepanjang mesyuarat persidangan Umno minggu lalu beliau masih belum mendapat satu pencalonan pun. Sehingga ini sudah 28 bahagian mengadakan persidangan dan semua mencalonkan Mohd Najib.

Apa yang diharapkan sekurang-kurang Tengku Razaleigh dapat memberi semangat dan janji baru untuk membangkitkan perwakilan Umno yang seolah tidak ternampak jasa dan budinya kepada Umno di sepanjang persidangan beberapa hari lalu dan begitu terpesona gandingan atas angin antara Mohd Najib dengan Muhyiddin Yassin.
Tetapi sayang apa diharapkan tidak menjadi dan wawancara itu seolah tidak memberi apa-apa bekas dan sekaligus menunjukkan anak Raja Kelantan itu kekeringan idea untuk beradu kekuatan minda dengan Mohd Najib.

Beliau hanya menceritakan atau mengulangi mengenai apa yang disebut dan menjadi harapannya jika beliau menjadi Presiden Umno. Antaranya ialah mahu menumpukan kepada pemulihan Umno yang baginya berada dalam keadaan membimbangkan dan makin ditolak rakyat.

Beliau lihat kebimbangan itu dari sudut bagaimana Umno tidak telus dan mengokong ahli dalam soal memilih pemimpin. Sistem kuota adalah antara peraturan yang ditentang oleh beliau kerana ia disifatkan sistem itu menyebabkan ahli-ahli jadi takut dan tunduk kepada kuasa pemimpin dan menjadi faktor melemahkan Umno dari dalam. Kerananya juga Umno sudah tidak demokratik lagi.

Selain itu beliau juga mengemukakan cadangannya untuk menumpukan perhatian kepada masalah rakyat di Sabah dan Sarawak di mana mengikutnya masih ketinggalan. Beberapa masalah rakyat negeri berkenaan seperti pemilikan tanah, projek pembangunan, pendidikan masih belum selesai dan beliau akan berusaha menyelesaikannya. Begitu juga mengenai kadar royalti minyak diterima Sabah dan Sarawak akan dikaji semula.

Cuma kalaupun apa yang boleh dikira isu baru yang dibangkitkan dalam wawancara tadi ialah cadangannya untuk menjadikan BN sebagai parti politik untuk semua kaum dan bukan komponen yang disertai parti politik. Cadangan ini nampak sedikit keremajaan pemikiran Tengku Razaleigh.

Alasan Tengku Razaleigh, perubahan perlu dibuat kerana menuntut kehendak semasa. Anak-anak muda kini menjauhi Umno kerana mereka mahukan perubahan dan struktur parti berkenaan. Cadangan menjadikan BN sebagai parti itu adalah satu perubahan besar yang perlu dipertimbangankan. Pun begitu Tengku Razaleigh seorang yang sangat berhati-hati dan berdisiplin dalam melontarkan ideanya. Sebelum perubahan itu dibuat katanya ia tentulah memerlukan pandangan dari Umno dan juga parti kerabat BN lain.

Seperkara lagi yang disebutnya ialah berhubung cadangan untuk membentuk Unity Gorvement (Kerajaan Perpaduan). Ini juga satu idea yang dinamik dan jilah yang disarankan oleh beliau. Dalam hubungan ini apa yang boleh difahamkan Tengku Razaleigh merasakan perlu parti-parti politik bergabung dalam Kerajaan bagi mewujudkan sebuah Kerajaan Perpaduan. Cadangan ini nampaknya tepat dengan keadaan masyarakat majmuk negara ini.

Sebenarnya kalau diteliti satu persatu apa yang hendak diperjuangkan itu adalah ciplak daripada idea Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim. Misalnya untuk mengkaji royalti minyak di Sabah dan Sarawak dari lima persen hingga 15 persen adalah idea dan rancangan Anwar yang dilontarkan untuk menarik hati rakyat Sabah dan Sarawak.

Begitu juga untuk memberi peruntukan pembangunan mengikut perlembagaan Persekutuan serta mengseimbangkan pembangunan juga idea dan janji Anwar.

Sama juga cadangan bagi menjadikan BN sebagai sebuah parti untuk disertai semua kaum, idea itu sebenarnya sudah pun terlaksana oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pendekatan baru yang diambil dalam PKR dan Pakatan Rakyat. Jika diteliti kondisi dalam PKR ia melambangkan parti berbagai kaum yang pratikal di negara ini dan mendapat keyakinan rakyat.

Manakala Pakatan Rakyat yang diketuai Anwar juga terarah ke arah pembentukan Kerajaan Perpaduan seperti mana diucapkan dan dicita-citakan Tengku Razaleigh. Oleh kerana pandangan, idea dan hasrat Tengku Razaleigh itu sinonim atau pun selari dengan pandangan dan approach politik Anwar adalah elok kalau Tengku Razaleigh tidak bersusah payah berusaha untuk menembusi bukit pejal mengharapkan beliau cukup pencalonan.

Sekiranya sepanjang persidangan bahagian Umno minggu depan Umno masih terlupa kepada Tengku Razaleigh maka molek sangatlah kalau Tengku Razsleigh menarik diri perlahan-lahan cuba mencari ruang dalam Pakatan Rakyat. Lagipun sudah ada tawaran tidak rasmi untuk membawa beliau menyertai Pakatan Rakyat dan diletakkan ditempat sewajar dengan pengalaman dan kepakarannya. Kalau Umno tidak menghormati bekas Menteri Kewangan itu biarlah Pakatan Rakyat menyanjungnya pula! - TPT 11/08

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama