Isnin, 13 Oktober 2008

Annuar Musa

HUKUM KARMA MAKAN DIRI ANNUAR MUSA
[Perkembangan terbaru Annuar tarik diri]

(TAMBAHAN) Assalamualaikum ... Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Penglima Datuk Haji Annuar Haji Musa telah menarik diri daripada menawarkan diri untuk dicalonkan bertanding jawatan Naib Presiden Umno. Beliau juga turut tidak menawarkan diri untuk bertanding sebagai ahli MT Umno.
Saya ucap terima kasih dan memberi tabik hormat kepada beliau. Pandangan saya nampaknya diterima oleh bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar itu. Untuk tidak malu besar elok beliau berbuat begitu.
Beliau tidak memberi banyak alasan kenapa berbuat begitu. Cuma mengatakan sudah menghubungi 34 bahagian yang mahu kepastian daripada beliau. Ertinya ada 34 bahagian yang sedia untuk mencalonkan beliau? Betul ke atau gebang saja!
Apakah jumlah itu disebut bagi menunjukkan beliau tidak laku sangat?
Kelicitan Annuar dalam politik sudah menjadi sebutan. Beliau bertindak begitu mungkin beliau sudah dapat membaca berapa undi yang akan perolehinya nanti dan mengenai nasib beliau selepas perhimpunan akan datang.
Sepeti mana saya kata, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan akan berubah. Annuar sedar beliau tidak rapat dan 'berlaga daut' dengan Mohd Najib. Pastinya selepas perhimpunan akan datang, Mohd Najib akan lantik Awang Adek Hussein sebagai Pengerusi manakala timbalannya Setiausaha Politiknya, Mohd Fatmi Che Salleh.
Selamat bersara sepenuhnya kepada Annuar!
***
Assamualaikum... Calon corot untuk jawatan Naib Presiden Umno, Tan Sri Datuk Panglima Haji Annuar Haji Musa mengemukakan cadangan yang berbau seperti orang kalah dan putus harapan saja.
Beliau mencadangkan supaya jawatan Timbalan Presiden Umno dirundingkan. Maknanya jangan ada pertandingan. Alasannya bagi mengelakkan wujud kumpulan itu dan kumpulan ini. Katanya juga sudah ada dengar-dengar orang itu hendak mengambuskan orang ini dan orang itu.
Menurut calon Umno yang kalah di Parlimen Ketereh itu juga, cadangan itu bagi tidak mengsia-siakan peralihan kuasa antara Datuk Seri Abdullah Badawi dengan Datuk Seri Mohd Najib Razak. Ada benarnya juga cadangan Annuar itu.

Sebelum ini beliaulah juga mencadangkan supaya Umno tidak bertanding melawan Datuk Seri Anwar Ibrahim di pilihan raya kecil Permatang Pauh. Katanya buat menghabiskan beras saja. Pendapat beliau itu ditengkis oleh Pak Lah dengan mengatakan belum pernah Umno tidak bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

Akhirnya pandangan Annuar itu benar. Umno kalah teruk kepada Anwar dengan tambahan majoriti.

Bagi saya, saya terima pandangan agar Umno tidak action (agah) menyertai setiap pilhan raya walaupun tidak yakin menang. Cadangan itu geliga dari Annuar. Tetapi cadangan terbaru beliau ini nampak sangat kegelabahan diri beliau sendiri. Cadangan itu seakan pelan nak menyelamatkan air muka beliau saja.

Annuar sudah sedar dia tidak akan mendapat pencalonan banyak untuk tanding ahli MT. Jadi apabila beliau mengemukakan cadangan itu dengan harapan ada cadangan agar dikemukakan pula supaya ahli MT juga dirunding, tidak usah bertanding. Sudah pasti kalau diadakan rundingan Annuar secara automatik akan menjadi ahli MT atas kapasitinya sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan.

Bijak juga Annuar dalam hal ini, hal untuk menyelamatkan dirinya. Annuar tahu kalau beliau terus juga dengan hajat nak bertanding beliau akan malu besar. Saya berani ramalkan paling banyak pun beliau akan dapat antara 10 hingga 15 pencalonan saja. Angka ini tidak genap dan beliau akan gagal untuk bertanding. Kalau pun Jeli dan Bachok calon tetapi undi belum tentu lagi. Mustapa Mohamad dan Awang Adek Hussein senantiasa ingat apa yang Annuar lakukan kepada mereka.

Jadi untuk mengelakkan Annuar malu lebih besar, tariklah diri cepat-cepat. Apa nak tunggu lagi. Kalau minggu pertama kita sudah tidak nampak riak angin akan menghala ke kita, maka cepat-cepatlah berundur. Tidak gunakan nak anjur wau kalau angin tidak ada... wau tidak akan naik. Dan kalau hendak harapkan wau akan naik kerana kita membawa lari, lama kelamaan kepenatan dan akan jatuh juga.

Bahana yang diterima Annuar ini bukan apa kerana celupar mulutnya sendiri juga. Awal-awal lagi beliau sudah khinati Tengku Razaleigh Hamzah, membuat kenyataan agar anak Raja itu disingkirkan. Jadi tidak hairanlah kalau hukum karma alam pula mengkhianati beliau! - TPT 10/08.

Label:

1 Ulasan:

Di 13 Oktober 2008 pada 3:57 PTG, Blogger . berkata...

Blog yang bagus. Kritikal dan konstruktif. Saya telah membuat link ke blog saya (25 blog terkini). Sekiranya tuan kelapangan, jemputlah menziarahi blog saya di http://nobisha.blogspot.com

 

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama