Jumaat, 10 Oktober 2008

Mohd Najib

JANGAN JADIKAN JAWATAN PESAKA TAKHTA

Assalamualaikum... Menurut Datuk Seri Mohd Najib Razak pengunduran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Mac depan sebahagian proses berakhirnya era Tun Razak. Secara tak langsung beliau menyifatkan Pak Lah adalah pemimpin terakhir generasi Tun Razak dan kini ia diambil oleh generasi baru. Bijak juga Mohd Najib ini.

Beliau membuat persempadanan itu kerana memberi mesej bahawa bakal lawannya Tengku Razaleigh Hamzah adalah generasi lama era Tun Razak. Bila begitu ini bermakna Tengku Razaleigh tidak layak dan relevan lagi untuk merebut jawatan itu kerana beliau bukan dari generasai baru.

Saya setuju dengan pandangan Mohd Najib itu. Perubahan kepimpinan dan generasi baru perlu mengambil alih kepimpinan Umno. Bukan Umno saja malahan parti juga perlu peka dan prihatin dengan tuntutan semasa. Umno perlu diolah dengan semangat dan mengikut selera generasi baru.

Kalau Umno masih dengan cara dan corak lama parti itu akan ketinggalan dan mungkin akan kalah teruk dalam pilihan raya akan datang.Tetapi soalnya apakah bila generasi baru itu perlu memimpin Umno maka ianya mesti orang yang mempunyai darah Tun Razak?

Apakah mereka yang tidak mempunyai darah Tun Razak atau darah ningrat tidak layak?

Ingat Umno bukan hak Tun Razak dan milik peribadi keluarganya. Umno adalah hak orang Melayu. Perlembagaan Umno tidak menyebut bahawa pemimpin masa depan (generasi baru) mesti mempunyai darah Tun Razak atau darah Tunku Abdul Rahman baru layak memimpin Umno?

Hakikat ini perlu disedari oleh ahli-ahli Umno seluruhnya. Mereka perlu tidak terikat dengan paradigma atau mitos ini. Bukan saja mereka yang memiliki darah Tun Razak atau darah-darah bekas PM yang tahu dan layak menjadi pemimpin.

Anak-anak petani, pengayuh beca, peneroka, tukang rumah, tukang urut bahkan anak haram pun juga berhak dan layak untuk memimpin Umno.

Untuk jadi pemimpin bukan dignosis darah yang menjadi ukuran dan syaratnya tetapi kebolehan, keperibadian, kewibawaan dan paling penting komitmennya terhadap agama, bangsa dan negara. Hal-hal samping seperti keperibadian isteri, kedudukan keluarga tidak penting walaupun ia juga diambil kira.

Justeru ahli Umno yang tidak berdarah bangsawan jangan mudah merasa takut dan rendah diri untuk mencuba nasib bertanding bagi memimpin Umno. Bangsa kita tidak miskin bakat dan tokoh di luar marga bangsawan. Cukuplah kalau satu keluarga hanya diberi sekali saja peluang untuk memimpin negara.

Janganlah pula jadikan jawatan Perdana Menteri atau menteri itu seperti pesaka milik turun temurun seperti takhta kesulatan dan raja-raja. Apa guna kita mengambil sistem demokrasi kalau kepercayaan karut itu tidak dirombak! - TPT 04/08.

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama